Melaka&Negeri Sembilan: Japerun Merlimau, Serkam anjur majlis persandingan
November 2, 2009 4:08 pm Uncategorized
Program 10.10.2010 tawar pakej bulan madu kepada mempelai
JASIN: Bakal pengantin di negeri ini yang berhasrat melangsungkan perkahwinan tahun depan berpeluang untuk melakar sejarah pada hari bahagia berkenaan dengan menyertai program pernikahan dan persandingan beramai-ramai yang dijadualkan pada 10.10.2010.
Bukan itu saja, program anjuran bersama Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rim, Merlimau dan Serkam ini turut menawarkan pakej pembiayaan untuk berbulan madu di sebuah lokasi menarik di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Mohd Yazed Khamis, berkata pihaknya hanya mengenakan bayaran serendah RM2,500 kepada setiap pasangan pengantin yang berminat dan wang berkenaan akan digunakan untuk kos jamuan makan serta kelengkapan persandingan.
Bagaimanapun, katanya, jumlah terbabit mungkin akan dikurangkan sekiranya ada pihak yang sudi menaja program berkenaan.
“Kami sedang berurusan dengan beberapa kementerian iaitu Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan untuk mendapatkan persetujuan mereka menyalurkan peruntukan bagi menjayakan program itu.
“Program Merakyatkan Seni Budaya 1Malaysia itu bukan saja dibuka kepada pasangan pengantin Islam, malah semua kaum seluruh negara dipelawa menyertai aktiviti yang julung kali diadakan ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat pada peringkat urus setia program terbabit di pejabatnya di sini semalam.
Turut hadir, Penghulu Kawasan Rim, Nor Azmi Mahmood; Setiausaha Japerun Rim, Supian Yusof serta Penyelaras program, Jaafar Rahman.
Mohd Yazed yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pembangunan Pekan Kecil dan Pemulihan Projek negeri berkata, pihaknya meletakkan sasaran 30 pasangan pengantin bakal menyertai program pertama berkenaan.
Katanya, majlis pernikahan bagi pasangan pengantin Islam dicadang diadakan di Masjid Simpang Kerayong, di sini, manakala pengantin bukan beragama Islam pula akan melakukan upacara perkahwinan mereka di rumah ibadat masing-masing.
